AirAsia Perkenal Laluan Baharu ke Nha Trang, Vietnam

Penerbangan harian bakal bermula pada 14 September 2017 dengan tambang promosi dari serendah RM99* sehala 

SEPANG, 3 Julai 2017

Nha Trang_ENG

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat kali kesembilan berturut-turut akan memperkenalkan penerbangan harian ke Nha Trang, Vietnam dari Kuala Lumpur bermula 14 September 2016.

Dikendalikan secara eksklusif oleh AirAsia (dengan kod penerbangan AK), laluan baharu yang unik ini merupakan laluan keempat AirAsia ke Vietnam, yang akan membawa para tetamu menerokai permata tersembunyi negara tersebut.

Bagi meraikan laluan baharu ini, para tetamu boleh menempah harga promosi tambang termasuk semua dari RM99* sehala mulai 4 Julai 2017 hingga 9 Julai 2017 untuk tempoh perjalanan dari 14 September 2017 hingga 28 Ogos 2018. Tempahan boleh dibuat melalui airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia di peranti iPhone atau Android untuk menikmati tambang promosi ini.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia berkata, “Tahun ini kami akan terus memacu visi Asean ke hadapan seiring dengan inisiatif Tahun Melawat Asean@50. Kami juga berbesar hati untuk meluaskan rangkaian kami dengan memperkenalkan laluan ke-54 dari Malaysia ke satu lagi destinasi menarik di rantau ini.”

Beliau menambah, “Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang akan terbang terus ke Nha Trang dari Malaysia, pengenalan laluan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para tetamu untuk meneroka bandar ini, tetapi juga memberi akses kepada penduduk dari Wilayah Khánh Hòa untuk terbang ke lebih dari 120 destinasi AirAsia di seluruh Asia. Kami juga akan menghubungkan 14 laluan Fly-Thru sempena pembukaan laluan ini, bagi melancarkan perjalanan para tetamu kami ke destinasi Asean ini.”

Para tetamu boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan sambungan Fly-Thru di mana bagasi berdaftar mereka akan dihantar terus ke destinasi terakhir tanpa perlu melalui pelepasan imigresen di hab transit. Perkhidmatan tambahan ini melancarkan penerbangan para tetamu ke Nha Trang dari 14 bandar serata Asia dan Australia seperti dari Johor Bahru, Pulau Pinang, Singapura, Jakarta, Guangzhou, Shenzhen, Chengdu, Changsha, Xi’an, Wuhan, Melbourne, Gold Coast, Sydney, atau Perth melalui Kuala Lumpur. 

AirAsia juga menghubungkan para tetamu ke bandar-bandar lain di Vietnam termasuklah Ho Chi Minh City, Da Nang, dan Hanoi. 

Sebagai sebuah bandar perairan dan ibu negeri Wilayah Khánh Hòa, Nha Trang mempunyai pelbagai daya tarikan warisan di bandar yang serba moden. Juga terkenal dengan teluk-teluk yang indah, bandar perairan ini menawarkan deretan pasir putih di persisiran pantai sepanjang enam kilometer dan lautan biru jernih sesuai untuk aktiviti snorkeling, selam skuba, belayar, dan melawat pulau. 

Antara tempat-tempat yang harus dilawati termasuklah Menara Po Nagar Cham, lokasi peninggalan etnik minoriti Cham di Vietnam yang terletak di atas bukit berhadapan perkampungan nelayan Nha Trang; Taman Hiburan Vinpearl Land yang memegang Rekod Dunia Guinness dengan sistem kereta kabel sepanjang 3,320 meter dengan panorama laut yang menakjubkan; Long Son Pagoda dan White Buddha yang merupakan pagoda terbesar dan arca luar terbesar di Vietnam; Gereja Nha Trang yang bercirikan Katolik Perancis, sebuah tempat popular untuk merakam foto perkahwinan dan landskap; serta banyak lagi.

Untuk percutian santai pula, terokailah mata air panas semula jadi dan pengalaman mandi lumpur atau nikmatilah juadah tempatan seperti sup sarang burung, snek kek yang popular, dan mi ubur-ubur di gerai-gerai sepanjang jalan. Para tetamu juga tidak harus melepaskan Festival tahunan Menara Po Nager dan Festival Laut Nha Trang yang diadakan setiap dua tahun yang turut disertai oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat. 

Jadual Penerbangan untuk Kuala Lumpur, Malaysia (KUL) – Nha Trang, Vietnam (CXR) 

No Penerbangan Dari Ke Waktu Berlepas Waktu Ketibaan Kekerapan
AK204 KUL CXR 1030 1135  Harian
AK205 CXR
KUL 1200  1515  Harian