AirAsia Berhad mendapat pengiktirafan cemerlang di Majlis Anugerah Perniagaan ASEAN Malaysia ke-7

KUALA LUMPUR, 1 JUN 2016

AirAsia Berhad telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Industri dalam kategori penerbangan di Majlis Anugerah Perniagaan ASEAN ke-7 Malaysia. Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan AirAsia kepada industri penerbangan di Malaysia dan di seluruh Asean.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad pada majlis makan malam gala yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Anugerah Perniagaan ASEAN Malaysia adalah satu platform yang mengiktiraf perniagaan yang telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam inovasi, pertumbuhan, serta amalan, dan menjadi pemacu ke arah perkembangan serantau. Anugerah yang diterima adalah pengiktirafan kebangsaan kepada penerima setiap kategori.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, "Kami berterima kasih kepada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC) kerana mengiktiraf kami sebagai sebuah organisasi yang mengutamakan Asean. Kami amat berbangga menjadi satu jenama tempatan yang dikenali di Asean dan anugerah yang diberi ini jelas menunjukkan bahawa dengan dedikasi yang betul, Malaysia boleh mendahului dalam pasaran Asean."

Terdapat sejumlah 19 anugerah yang menonjolkan organisasi dan individu dalam empat kategori yang utama; Anugerah Kecemerlangan ASEAN, Anugerah Usahawan, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Kecemerlangan SME.

Kumpulan AirAsia mempunyai penerbangan ke semua 10 negara Asean dengan 74 laluan dan dari jumlah tersebut, 48 laluan eksklusif dikendalikan oleh Kumpulan Syarikat penerbangan tersebut seperti Penang - Jakarta, Kuala Lumpur - Pekanbaru, Kuala Lumpur - Palembang, Johor Bahru - Bangkok dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila layari Twitter(twitter.com/AskAirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).