AirAsia dan Teach For Malaysia bekerjasama untuk kempen #GirlsCanDoAnything

25 NOVEMBER 2016

Special Promo for Chinese New Year

AirAsia terus memberi inspirasi kepada golongan belia dalam merealisasikan impian mereka melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat terkini, iaitu kempen #GirlsCanDoAnything.

Tujuan kempen ini adalah untuk memberikan galakan dan dorongan kepada golongan wanita, terutamanya dari perspektif industri penerbangan.

Sebagai permulaan kempen ini, AirAsia telah bekerjasama dengan Teach For Malaysia dan mengalu-alukan 120 pelajar perempuan daripada tiga sekolah ke Asian Centre of Excellence (AACE) di Sepang, dan diikuti dengan lawatan ke ibu pejabat AirAsia - RedQ. Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian di dalam lawatan ini ialah SMK Sungai Manggis, Banting; SMK Pandamaran Jaya, Klang dan SMK Jengka Pusat, Pahang.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, “Kami sering menjemput pelajar-pelajar dan kumpulan belia ke AACE dan RedQ dengan harapan untuk memberi galakan kepada mereka untuk beraspirasi tinggi dan berani untuk mengejar impian mereka di dalam apa jua bidang.

Di AirAsia, kami memberi peluang yang sama rata kepada semua tanpa mengira jantina. Ini telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kreativiti dan juga jawatan kepimpinan bagi ramai wanita di dalam AirAsia. Melalui inisiatif bersama Teach For Malaysia ini, kami berharap untuk terus memberi semangat dan membuka pemikiran pelajar - pelajar untuk terus mengejar impian mereka,” tambah Aireen.

Antara aktiviti-aktiviti di dalam lawatan ini termasuk pengalaman memantau kawasan simulator penerbangan, kawasan latihan kecemasan dan lain-lain supaya semua pelajar boleh memahami dengan lebih mendalam tentang tanggungjawab krew penerbangan seperti juruterbang, krew kabin dan jurutera penerbangan.

Selain itu, pemimpin-pemimpin wanita AirAsia dari jabatan kejuruteraan dan operasi penerbangan juga hadir dan berkongsi pelbagai nasihat mengenai perjalanan dalam kerjaya mereka.

Dzameer Dzulkifli, Pengasas dan Pengarah Urusan Teach For Malaysia berkata, “Di Teach For Malaysia, kami percaya bahawa kesemua pelajar harus diberi peluang untuk merealisasikan potensi mereka, tanpa mengira latar belakang masing-masing. Tenaga pengajar kami mengajar di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi di serata Malaysia, untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar zaman kini. Kami amat teruja untuk mendapat sokongan sektor awam dan swasta seperti AirAsia untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama; iaitu melabur dalam masa depan kita, dan mewujudkan transformasi yang berkekalan untuk sekolah-sekolah dan komuniti-komuniti.”

Teach For Malaysia merupakan sebuah badan amal yang bertujuan untuk meningkatkan potensi negara dengan mengukuhkan sektor pendidikan. Mereka bekerjasama dengan sekolah-sekolah berkeperluan tinggi di serata Malaysia, supaya pelajar-pelajar mendapat peluang yang rata untuk mencapai prestasi yang cemerlang. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif Teach For Malaysia sila rujuk laman web rasmi http://teachformalaysia.org/home/

Untuk keterangan lanjut dan kemaskini mengenai berita terkini AirAsia, aktiviti-aktiviti dan juga promosi, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).