AirAsia Menghadiahkan Penerbangan Percuma Kepada Semua Pemenang Paralimpik Dari Rantau Asean

SEPANG, 11 Oktober 2016 

AirAsia hari ini menghadiahkan penerbangan percuma kepada para pemenang pingat sukan Paralimpik dari rantau Asean di majlis gala yang diadakan di Asian Aviation Centre of Excellence (AACE) di sini.

Pemenang pingat emas menerima penerbangan percuma seumur hidup, sementara pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing menerima lima dan tiga tahun penerbangan percuma.

Pemenang pingat tersebut juga telah diberikan kad AirAsia BIG edisi khas yang berwarna Emas, Perak dan Gangsa yang membolehkan mereka untuk terbang ke lebih 120 destinasi yang terdapat dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan rangkaian meluas AirAsia X di Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura Logan Velaitham serta pegawai-pegawai kerajaan dan sukan dari rantau Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, "Sekali lagi atlet Asean telah membanggakan rantau ini dengan menunjukkan bahawa kita boleh menjadi pencabar yang hebat di peringkat dunia, dan saya amat berbesar hati dapat menghadiahkan ahli-ahli sukan ini dengan penerbangan percuma sebagai menghargai pencapaian mereka yang cemerlang. Para atlet ini membuktikan bahawa tiada had dalam keazaman manusia, tiada halangan untuk mencapai impian kita dan kita boleh mengatasi segala rintangan dengan tumpuan, keazaman dan ketekunan. Mereka adalah inspirasi kepada rantau ini dan dunia."

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, "Saya teruja dengan prestasi kontinjen Malaysia. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi memenangi pingat emas pertama sukan Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod dunia untuk mendapatkan pingat emas yang kedua dan Abdul Latif Romly memecah rekod dunia sebanyak tiga kali untuk emas yang ketiga. Mereka benar-benar telah menanda aras yang lebih tinggi untuk atlet sukan paralimpik di Tokyo 2020 kelak."

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand Tassapon Bijleveld berkata, "Para atlet Thai telah menunjukkan persembahan hebat di Rio dengan memenangi pingat terbanyak dari negara-negara di rantau Asean. Saya berbangga dengan pencapaian mereka, terutama atlet Olahraga dan pasukan Boccia yang mengetuai kumpulan itu. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Le Van Cong untuk kemenangan Vietnam pertama pingat emas Paralimpik dan memecahkan rekod dunia bagi acara powerlifting."

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan berkata, "Pingat yang dimenangi Ni Nengah Widiasih menunjukkan sejauh mana pembangunan atlet paralimpik telah berkembang di Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Di London 2012, kami telah memenangi pingat pertama setelah lebih dua dekad dan tahun ini kita mendapat satu lagi – hanya sedikit masa lagi sebelum Indonesia kembali mendapat pingat emas."

Ketua Pegawai Eksektif AirAsia Filipina Captain Dexter Comendador berkata, "Saya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Josephine Medina untuk menamatkan kemarau pingat 16 tahun Filipina di sukan paralimpik, melonjakkan pencapaian Hidilyn Diaz hanya sebulan lebih awal. Ianya adalah satu pencapaian yang baik untuk Filipina, dan saya yakin ini hanyalah permulaan bagi kejayaan lebih besar yang akan datang."

AirAsia adalah syarikat penerbangan tambang rendah Asia yang terkemuka dan terbesar dari segi bilangan penumpang yang dibawa dan jumlah pesawat, dengan rangkaian meluas lebih daripada 120 destinasi di Asia, Australia dan New Zealand, Timur Tengah dan Afrika. Ianya juga satu satunya syarikat penerbangan yang menpunyai penerbangan terus ke semua 10 negara Asean, termasuk 60 laluan unik di rantau ini.

AirAsia telah dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun kelapan berturut-turut dan AirAsia X memenangi Kabin Premium Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Tempat Duduk Premium bagi empat tahun berturut-turut di Anugerah Syraikat Penerbangan Dunia 2016 di Farnborough, UK

Ikuti promosi dan akitiviti terkini AirAsia melalui Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).