AirAsia lancar buku dua kapten

Ikuti perjalanan penuh inspirasi Kapten Lim Khoy Hing dalam buku bertajuk Sky Tales: More Insights from a Life in the Skies, dan Kapten Monika Anggreini dalam Iron Bird Monika

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2017

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, hari ini melancarkan dua buah buku hasil nukilan daripada Kapten Lim Khoy Hing dan Kapten Monika Anggreini, sempena meraikan ulang tahun ke-10 majalah travel 3Sixty° di Fahrenheit 88, Bukit Bintang.

Pelancaran tersebut dihadiri oleh Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X; Kapten Lim Khoy Hing, bekas juruterbang dan kini Jurulatih Simulator Penerbangan AirAsia X; dan Kapten Monika Anggreini, Kapten AirAsia Indonesia..

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, “Kami menganggap AirAsia sebagai penjana impian di mana semua digalakkan untuk mengejar impian mereka. Kami sentiasa memberikan motivasi kepada semua kakitangan untuk berani menggapai cita-cita mereka dan tidak pernah mengalah. Siapa kata anda tidak boleh menjadi juruterbang dan penulis dalam masa yang sama? Dan saya amat bangga mempunyai dua kapten luar biasa yang bukan sahaja telah merealisasikan impian mereka untuk menerbitkan buku, malah berkongsi pengalaman penerbangan yang berharga kepada para tetamu, memberi inspirasi kepada juruterbang baharu dan menjadi bukti bahawa tiada yang mustahil bagi seorang wanita.”

Merupakan naskah kedua Kapten Lim selepas Life in the Skies: Everything You Want To Know About Flying yang diterbitkan pada tahun 2013, Sky Tales: More Insights from a Life in the Skies menampilkan koleksi tips, anekdot dan pengalaman kerjaya penerbangannya dalam gaya penulisan yang bersahaja dan menghiburkan. Dengan sejumlah 25,500 jam penerbangan ke lebih daripada 80 destinasi, Kapten Lim mula berkhidmat dengan Kumpulan AirAsia pada tahun 2006 sehingga beliau bersara pada tahun 2011. Beliau kini merupakan jurulatih simulator penerbangan AirAsia X dan penulis ruangan Pilot Perspective dalam majalah travel 3Sixty°.

“Saya amat teruja untuk meneruskan impian saya menghasilkan naskah ini dan berkongsi lebih banyak kisah daripada pengalaman kerjaya penerbangan saya kepada mereka yang berminat untuk mengetahui aspek berbeza mengenai perjalanan udara - sama ada juruterbang baharu atau para pengembara. Selain daripada topik yang ringan seperti etika penumpang untuk ke tandas pesawat, topik keselamatan penerbangan merupakan teras dalam buku ini untuk menunjukkan sejauh mana syarikat penerbangan dan kakitangannya memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” kata Kapten Lim.

Juruterbang wanita pertama AirAsia Indonesia, Kapten Monika juga mengumumkan pelancaran Iron Bird Monika yang merupakan edisi Bahasa Inggeris bagi bukunya yang diterbitkan pada tahun lepas, Burung Besi Monika: Kisah Pilot Perempuan Dengan Semangat Tiga Kali Lipat Pilot Pria. Naskah ini menceritakan kisah keberanian dan perjalanan luar biasa beliau untuk menjadi seorang kapten wanita. Kapten Monika memulakan kerjayanya sebagai juruterbang AirAsia Indonesia pada tahun 2005 dan menjadi kapten bagi syarikat penerbangan itu pada tahun 2014.

“Oleh kerana industri penerbangan sering dilihat sebagai sektor yang dikuasai oleh kaum lelaki, saya berharap dapat memberi inspirasi dan menggalakkan juruterbang wanita pada masa hadapan untuk mengejar impian mereka dan terbang tinggi dengan semangat waja melalui kisah saya. Saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada syarikat penerbangan yang menggalakkan kakitangannya untuk mencabar diri mereka dan dalam masa yang sama menyediakan peluang dan platform untuk membantu para kakitangannya terus maju,” kata Kapten Monika.

Pembaca yang berminat boleh mendapatkan buku Sky Tales: More Insights from a Life in the Skies di atas pesawat AirAsia Berhad dan AirAsia X serta di semua kedai buku utama di Malaysia, manakala maklumat lanjut mengenai Iron Bird Monika akan diumumkan tidak lama lagi.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).