AirAsia lancar penerbangan sulung dari Kuching ke Langkawi

Tambang promosi termasuk semua dari RM100* sehala

KUCHING, 9 OGOS 2017

AirAsia, syarikat penerbangan tambah rendah terbaik dunia hari ini telah melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuching ke Langkawi. Laluan baharu tersebut akan beroperasi dengan kekerapan 4 kali seminggu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Penerbangan AK 5093 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 12.55 tengah hari diiringi oleh YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri; Datuk Haji Abdul Wahab Bin Aziz, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, dan Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad.

Ketibaan penerbangan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pula disambut oleh En. Nor Aznan Sulaiman, Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), manakala YBhg. Dato’ Haji Azizan Noordin, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan menyambut ketibaan penerbangan pertama AirAsia dari Shenzhen ke Langkawi pada 10 Ogos 2017.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhadberkata, “Kami terus komited untuk mengembangkan hab ini kerana Sarawak mempunyai banyak tarikan selain destinasi pelancongan. Menambah hubungan ke Sarawak juga adalah penting bagi kami kerana ia juga merupakan salah satu destinasi pelaburan utama di Malaysia, yang mana Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) menarik ramai pelabur untuk menubuhkan kilang pengeluaran ICT, pertanian, perindustrian dan banyak lagi.”

“Tahun lalu, kami telah menerbangkan kira-kira 3.2 juta tetamu dari dan ke hab Kuching dan kami percaya pengenalan dua laluan baharu iaitu Pontianak baru-baru ini dan Langkawi hari ini, mengukuhkan komitmen kami di Sarawak. Kami juga ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan dan bimbingan mereka yang berterusan dan kami berharap untuk mengukuhkan lagi hab ini dengan menghubungkannya ke lebih banyak destinasi pada masa akan datang.”

Sempena meraikan laluan baharu tersebut, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM100* sehala yang boleh ditempah secara atas talian di airasia.com bermula hari ini hingga 13 Ogos 2017 untuk tempoh perjalanan di antara 9 Ogos 2017 dan 8 Februari 2018. Tambang promosi tersebut juga boleh didapati menerusi aplikasi mudah alih AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, serta laman mudah alih airasia di mobile.airasia.com.

AirAsia kini terbang ke 11 destinasi dari Kuching dengan lebih 220 penerbangan mingguan sehala. Selain Langkawi, destinasi-destinasi lain adalah Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak.

Untuk berita, aktiviti dan promosi mengenai AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Jadual Penerbangan untuk Kuching, Malaysia (KCH) - Langkawi, Malaysia (LGK):

No Penerbangan Dari Ke Waktu Pelepasan Waktu Ketibaan Kekerapan
AK 5092 LGK KCH 1010 hours 1230 hours Isnin, Rabu, Jumaat
AK 5093 KCH
LGK 1255 hours 1510 hours Isnin, Rabu, Jumaat
AK 5092 LGK KCH 0900 hours 1120 hours Ahad
AK 5093 KCH
LGK 1145 hours 1400 hours Ahad