AirAsia terbang ke permata tersembunyi Kemboja di Sihanoukville

Penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Sihanoukville mencatat faktor muatan 100 peratus

SEPANG, 10 OGOS 2017

AirAsia terus menghubungkan Asean dengan melancarkan penerbangan pertamanya ke Sihanoukville, Kemboja dengan kekerapan empat kali seminggu terus dari Kuala Lumpur. Syarikat penerbangan itu juga merupakan syarikat penerbangan Malaysia pertama yang mengendalikan laluan unik tersebut di Kemboja.

Penerbangan pertama AK264 tersebut mencatatkan faktor muatan sebanyak 100 peratus dan para tetamu telah dihantar secara istimewa di klia2. Penerbangan tersebut juga telah disambut dengan meriah dengan pancutan air di Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanouk.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad berkata, “Kami amat teruja kerana penerbangan pertama kami ke Sihanoukville mencatat muatan penuh sekaligus menandakan satu kejayaan bagi laluan unik kami yang ke-50. Sebagai sebuah syarikat penerbangan Asean, adalah menjadi komitmen kami untuk memacu usaha pelancongan ke semua negara yang kami beroperasi terutamanya di rantau ini. Bandar pesisiran pantai di Kemboja ini mempunyai potensi besar dan dinamik dari segi pelancongan, perdagangan dan ekonomi, justeru kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada pembangunan Sihanoukville. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Lapangan Terbang Kemboja, badan Pelancongan Kemboja dan pihak berkuasa tempatan di atas sokongan mereka dalam pelancaran laluan baharu ini.”

“Melalui penambahan Sihanoukville dalam rangkaian kami yang melebihi 120 destinasi, kami berharap untuk membangunkan bandar ini menjadi sebuah destinasi pelancongan yang popular dan membolehkan para pelancong dari rantau ini menerokai sisi tersembunyi Asean. Lebih penting lagi melalui laluan terus ini, kami ingin membuka laluan udara untuk rakyat Sihanoukville meneroka Asean dan dunia melalui sambungan luas kami di 27 negara,” tambah beliau.

Sebagai bandar keempat terbesar di Kemboja, Sihanoukville menawarkan percutian berlatarkan pantai yang mempesonakan, gunung-ganang, hutan bakau dan kehidupan laut. Para pengunjung juga boleh melawat pulau Koh Rong Samloem dan Koh Rong yang indah; menikmati pemandangan malam di sepanjang Pantai Ochheuteal; alami tarikan semula jadi di Air Terjun Kbal Chhay, atau taman nasional pertama negara, Taman Negara Ream; atau menikmati makanan laut segar seperti sotong bakar dan hidangan kebangsaan, Amok Trey.

AirAsia juga menghubungkan Kuala Lumpur terus ke ibu kota Phnom Penh dengan 21 penerbangan seminggu serta Siem Reap dengan 14 penerbangan seminggu.

Untuk berita, aktiviti dan promosi mengenai AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

Jadual Penerbangan untuk Kuala Lumpur (KUL) – Sihanoukville, Kemboja (KOS)

No Penerbangan Dari Ke Waktu Pelepasan Waktu Ketibaan Jadual Penerbangan
AK264 KUL KOS 1215 hours 1300 hours Isnin, Rabu, Jumaat, Ahad
AK265 KOS
KUL 1340 hours 1630 hours Isnin, Rabu, Jumaat, Ahad