Laporan Tahunan AirAsia X raih Anugerah Terbaik Malaysia

SEPANG, 19 OKTOBER 2017

Laporan Tahunan AirAsia X Berhad 2016 menang kategori Terbaik Malaysia di Anugerah Pertandingan Laporan Tahunan Antarabangsa (ARC) ke-31.

Anugerah ARC adalah pertandingan antarabangsa laporan tahunan terbesar dunia untuk mengiktiraf kecemerlangan keseluruhan laporan tahunan and menggalakkan penulisan penting dan bermakna serta aspek reka bentuk asli dan imaginatif.

Tahun ini, Anugerah ARC menerima hampir 2,000 penyertaan daripada kira-kira 30 buah negara.

Pasukan perhubungan pelabur AirAsia X yang diketuai oleh Hanif Idrose Mohamed menerima anugerah terbabit bagi pihak AirAsia X di Majlis Makan Malam Anugerah Tertinggi ARC pada 12 Oktober 2017 di Hotel Ritz Carlton di Tokyo, Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Terima kasih ARC kerana mengurniakan anugerah berprestij ini kepada kami. Anugerah in signifikan kepada kami kerana laporan tahunan adalah dokumen yang amat penting bagi kami untuk berkomunikasi dengan para pelabur berkenaan apa yang telah kami lakukan pada tahun terdahulu dan menyampaikan data dengan jelas, tepat dan telus. Kami akan terus berhubung dengan pelabur kami dan mengekalkan komunikasi efektif dengan mereka. Saya bangga dengan pasukan perhubungan pelabur dan juga semua warga AllStars (staf) kerana komitmen mereka, sejajar dengan semangat One AirAsia dalam menerbitkan laporan terbaik untuk tahun 2016.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, “Pertama sekali, tahniah kepada pasukan perhubungan pelabur kerana kemenangan ini. Saya bangga dengan usaha yang hebat mereka tonjolkan dalam menghasilkan penyampaian data dengan cara yang menarik dan bukan konvensional untuk pelabur kami melalui penerbitan laporan ini. Pasukan ini mengeluarkan idea bernas dalam penghasilan laporan tahunan yang unik ini. Sebagai contoh, muka depan yang memaparkan tiga orang kanak-kanak - seorang kanak-kanak lelaki memakai pakaian seragam juruterbang, seorang kanak-kanak perempuan memakai pakaian seragam krew kabin dan seorang lagi kanak-kanak lelaki memakai pakaian biasa dengan pas masuk pesawat seperti seorang penumpang – secara tepat merumuskan konsep tentang bagaimana berkuasanya sesebuah impian. Pengurniaan anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada AirAsia X sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menggalakkan AllStars mengatasi segala batasan dan cabaran konvensyen untuk menukarkan idea bernas dan minat mereka kepada realiti dan bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan untuk mencatat pencapaian lebih tinggi.”

Memenangi anugerah ARC yang, diwujudkan oleh MerComm Inc pada1987, adalah diidamkan kerana pengadilan yang saksama oleh wakil pelbagai organisasi di peringkat global.

Pada Ogos tahun ini, Laporan Tahunan AirAsia X 2016 merangkul dua anugerah emas bagi kategori pertandingan tersebut - Laporan Tahunan Bukan Tradisional Terbaik (Penerbangan) dan Produksi dan Penerbitan (Penerbangan). Ia juga memenangi anugerah perak bagi ketegori Foto Muka/Rekabentuk (Penerbangan).

Ikuti perkembangan mengenai aktiviti dan promosi AirAsia melalui Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).