AirAsia X mulakan operasi eksklusif antara Kuala Lumpur dan Jeju

JEJU, 13 DISEMBER 2017

jeju-inaugural
  • Penerbangan sulung pada 12 Dis menandakan destinasi ketiga kumpulan syarikat di Korea Selatan
  • Promosi tambang termasuk semua serendah RM249* sehala

Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X memulakan penerbangan sulungnya ke Pulau Jeju di Korea Selatan dengan pesawat Airbus A330-300 dan nombor penerbangan D7 501 yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju semalam. Ketibaan pesawat itu menjadikan AirAsia X sebagaisatu-satunya syarikat penerbangan dengan penerbangan tanpa-henti antara Kuala Lumpur dan pulau terbesar yang indah di pesisir Semenanjung Korea Selatan tersebut.

Jeju menjadi destinasi ketiga syarikat penerbangan itu di Korea Selatan selepas Seoul (Incheon) dan Busan. Perkhidmatan empat kali seminggu yang ditawarkan antara Kuala Lumpur dan Jeju ini akan memperluaskan rangkaian syarikat penerbangan itu di Asia Utara. Laluan terbaru tersebut juga akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan syarikat AirAsia dan AirAsia X di pasaran Korea Selatan dengan jumlah 75 penerbangan seminggu dan penawaran sebanyak 1,183,468 kapasiti setahun bagi penerbangan sehala.

Bersempena dengan pelancaran penerbangan sulung destinasi terbaru ini, AirAsia X menawarkan promosi tambang termasuk semua dari serendah RM249* sehala bagi tempat duduk ekonomi dan ianya tersedia untuk tempahan di airasia.com sekarang sehingga 19 Disember 2017 untuk penerbangan dari 16 Disember 2017 hingga 27 Oktober 2018. Tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah juga ditawarkan untuk tempahan dengan promosi tambang sehala termasuk semua dari serendah RM799 *.

Mengulas mengenai perasmian laluan eksklusif ini, Pengerusi AirAsia X Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, "Laluan unik ini berpotensi untuk menghasilkan lebih daripada 156,000 kapasiti setahun bagi penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Jeju dan sebaliknya disamping memberi kemudahan kepada para tetamu bagi yang sebelum ini terpaksa melalui transit domestik. Kini, para tetamu kami akan mempunyai kemudahan penerbangan terus tanpa henti untuk menikmati alam semula jadi dan landskap Jeju yang indah, budaya dan warisan yang pelbagai serta aktiviti rekreasi disini.”

"Korea Selatan menjadi pasaran penting bagi kami yang berkembang pesat dan kami amat berterima kasih diatas sokongan padu daripada pihak kerajaan dan pihak berkuasa dikedua - dua negara yang telah membantu menjadikan laluan eksklusif ini suatu realiti. Selain memudahkan pelancongan dan aliran perniagaan dan perdagangan, laluan penerbangan terus ini juga akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan, di samping membawa seluruh Asia lebih dekat, terutamanya dari rantau Asia Tenggara. Sehingga kini, Kumpulan Syarikat AirAsia dan AirAsia X menawarkan sambungan penerbangan melalui 130 destinasi dan 1,681 laluan, yang menunjukkan hubungan antara penerbangan jarak dekat dan jarak jauh yang meluas di Asia dan seterusnya,” tambah Tan Sri Rafidah.

“Bersama-sama dengan rakyat Jeju, saya gembira bahawa AirAsia X mengendalikan penerbangan terus antara Jeju dan Malaysia. Dan saya berharap kedua-dua negara akan mendapat peningkatan bilangan pelancong sambil mengembangkan pertukaran dan kerjasama untuk kemakmuran bersama,” kata Won Hee-ryong, Gabenor Jeju Special Self-Governing Province, dalam ucapan alu-aluannya, dan beliau menambah "Kami amat berharap agar Malaysia dan Jeju akan dapat membina persahabatan yang berkekalan, Jeju Special Self-Governing Province akan terus aktif menyokong perkara ini."

Jeju adalah pulau gunung berapi indah yang terletak 64 kilometer di selatan Semenanjung Korea. Ia adalah pulau percutian paling popular di negara ini dan rumah kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO "Pulau gunung berapi Jeju dan Aluran Lava" yang terdiri daripada Gunung Halla, gunung tertinggi di Korea Selatan dan gunung berapi tidak aktif; aluran lava Geomunoreum dan landskap unik kon batuan gunung berapi Seongsan Ilchulbong. Antara tempat menarik lainnya termasuklah Jeju Olle Trail yang indah, air terjun Cheonjiyeon yang menakjubkan, pantai Hyeopjae dan pelbagai muzium bertema khas, menjadikan Jeju sebagai destinasi untuk semua peringkat umur sepanjang tahun.

*Tambang termasuk semua yang disebut adalah bagi penerbangan sehala sahaja dan termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Jadual Penerbangan bagi Kuala Lumpur, Malaysia (KUL) ke Jeju, Korea Selatan (CJU)

No. Penerbangan
Dari Ke Perlepasan Ketibaan Jadual Penerbangan
D7 501 KUL CJU 0530hrs 1230hrs Isnin, Rabu
KUL CJU 0640hrs 1340hrs Selasa, Sabtu
D7 502 CJU KUL 1335hrs 1835hrs Isnin, Rabu
CJU KUL 1440hrs 1940hrs Selasa, Sabtu

Nota: Waktu ketibaan/berlepas adalah waktu tempatan di destinasi masing-masing.

Jadual Penerbangan bermula dari 25 Mac bagi Kuala Lumpur, Malaysia (KUL) ke Jeju, Korea Selatan (CJU)

No. Penerbangan
Dari Ke Perlepasan Ketibaan Jadual Penerbangan
D7 501 KUL CJU 0640hrs 1340hrs Isnin,Selasa,Rabu,Sabtu
D7 502 CJU KUL 1440hrs 1940hrs Isnin, Selasa, Rabu, Sabtu

Nota: Waktu ketibaan/berlepas adalah waktu tempatan di destinasi masing-masing.