Dapatkan Tambang Istimewa KLIA Ekspres Apabila Terbang Bersama AirAsia

SEPANG, 25 SEPTEMBER 2017

KLIA EXPRESS_AIRASIA KV

Tetamu setia syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia kini boleh menikmati tambang istimewa KLIA Ekspres serendah RM48 untuk perjalanan sehala dan RM88 untuk perjalanan pergi balik. Tawaran yang boleh didapati dalam talian ini adalah hasil kerjasama terbaru AirAsia dengan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).

“Kami amat sukacita dapat bekerjasama dengan AirAsia menerusi kolaborasi terbaru ini. Dengan adanya kemudahan pembelian tiket KLIA Ekspres dalam laman web AirAsia, tetamu AirAsia boleh merancang dan mengurus perjalanan mereka dalam hanya satu laman web,” kata Yeow Wei-Wen, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Pemasaran & Jualan ERL.

“Perjalanan di antara KL Sentral dan KLIA2 cuma mengambil masa selama 33 minit. Kami berusaha memastikan agar penumpang menikmati perjalanan yang cepat dan selamat dengan KLIA Ekspres. Tambang khas untuk kanak-kanak (dua hingga 12 tahun) juga ditawarkan pada harga RM22 sehala dan RM40 untuk perjalanan pergi balik melalui laman web ini,” katanya lagi.

“Kerjasama eksklusif ini terus menguatkan komitmen kami untuk menjadikan perjalanan lebih mudah bagi tetamu kami yang dihargai. Dengan tawaran tambang istimewa KLIA Ekspres melalui laman web AirAsia, mereka akan menikmati lebih nilai selain daripada pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” kata Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad.

Sempena pelancaran kerjasama ini, ahli AirAsia BIG akan memperoleh 100 mata ganjaran BIG untuk pembelian tiket sehala dewasa KLIA Ekspres dan 200 mata ganjaran BIG untuk tiket pergi balik dewasa. Tawaran mata ganjaran AirAsia BIG ini boleh didapati sehingga 20 Oktober 2017.

Tetamu AirAsia boleh mendapatkan tambang eksklusif KLIA Ekspres melalui airasia.com menerusi pautan Urus Tempahan Saya.