Dasar Privasi AirAsia Berhad

AirAsia Berhad (“AirAsia”) menghormati hak privasi anda. Oleh hal yang demikian, AirAsia berikrar untuk bertanggungjawab apabila mengumpulkan maklumat peribadi anda dan melindungi privasi anda dalam apa jua cara. Walaupun Dasar Privasi ini bukan suatu kontrak dan tidak memberikan sebarang hak undang-undang, namun ia digunakan sebagai satu penyataan komitmen AirAsia untuk melindungi maklumat peribadi yang sulit.

AirAsia berhak untuk menukar, meminda dan/atau mengubah Dasar Privasi ini pada bila-bila masa dan akan memaklumkan pengguna mengenainya dengan mengemas kini dasar di sini dan menyertakan label "BARU DIKEMAS KINI" dengan pautan "DASAR PRIVASI" di laman web yang dikawal oleh dasar ini untuk tempoh 30 hari.

Dasar Privasi ini menerangkan maklumat yang dikumpulkan oleh AirAsia, cara penggunaannya, bila maklumat tersebut boleh dikongsi dengan pihak lain dan cara kami memelihara kerahsiaan dan keselamatannya.

Dasar Privasi ini adalah terpakai untuk semua pengguna laman web AirAsia di www.airasia.com (“Laman Web”) termasuklah Tempahan Perjalanan, Jualan Korporat, Penyelidikan Pemasaran dan Perhubungan/Khidmat Pelanggan.

Dasar Privasi ini adalah terpakai untuk semua pengguna laman web (“Laman Web”) dan aplikasi mudah alih AirAsia serta mereka yang memberikan data peribadi mereka melalui pihak ketiga, contohnya ejen pelancongan atau pembekal perkhidmatan kami dan sebarang laman talian yang dikendalikan oleh AirAsia.

Pengumpulan maklumat

Kami mengumpul dan mengekalkan maklumat yang anda berikan di Laman Web atau yang diberikan kepada kami dalam apa jua cara yang lain (secara kolektif, “Maklumat Peribadi”). Anda boleh memilih untuk tidak memberikan maklumat yang tertentu, tetapi anda mungkin tidak dapat menikmati semua ciri Laman Web kami. Maklumat Peribadi yang kami peroleh daripada anda boleh membantu kami memperibadikan dan terus meningkatkan pengalaman dalam talian anda. Berikut adalah jenis Maklumat Peribadi yang kami kumpulkan:

  • Maklumat Pengenalan Peribadi contoh: Nama, jantina, tarikh lahir, kewarganegaraan, nombor pasport/kad pengenalan dan negara kediaman;
  • Maklumat perhubungan contoh: Alamat e-mel dan nombor telefon;
  • Maklumat pembayaran contoh: maklumat kad kredit atau debit, termasuklah nama pemegang kad, nombor kad, bank pengeluar kad, negara pengeluar kad dan tarikh tamat tempoh; butiran akaun perbankan;
  • Maklumat perjalanan contoh: maklumat penerbangan, mata wang, destinasi perlepasan atau pilihan produk yang lain;
  • Maklumat teknikal contoh: Alamat IP.

Apabila anda berinteraksi dengan aplikasi yang dicipta oleh AirAsia atau anggota gabungan kami, kami mungkin mengumpul maklumat mengenai lokasi dan peranti mudah alih anda. Maklumat tersebut mungkin akan diguna untuk menyediakan anda dengan perkhidmatan berasaskan lokasi seperti hasil carian dan kandungan pemasaran. Anda boleh menyatakan keengganan untuk berkongsi Maklumat Peribadi anda dengan kami atau menyahdayakan perkhidmatan lokasi pada peranti mudah alih anda pada bila-bila masa.

Kuki

Kuki adalah pengecam unik yang kami pindahkan ke peranti anda untuk membolehkan sistem kami mengecam peranti anda dan untuk menyediakan ciri-ciri seperti pembayaran BIG-Click dan penyimpanan butiran perjalanan keluarga dan rakan-rakan.

Kami menggunakan kuki dan kami memperoleh beberapa jenis maklumat tertentu apabila pelayar anda berinteraksi dengan Laman Web kami atau iklan atau kandungan lain yang disampaikan oleh atau bagi pihak AirAsia di laman web yang lain. Maklumat yang kami kumpulkan dan analisis adalah termasuk ID Ahli, alamat e-mel dan maklumat komputer anda serta maklumat sambungan seperti jenis dan versi pelayar, jenis dan versi pemalam pelayar, sistem operasi dan pemilihan bahasa.

Sistem kami akan mengingat dan mengisi maklumat ini secara automatik supaya anda tidak perlu menaip semula maklumat tersebut setiap kali anda ingin membuat pembelian di Laman Web kami. Maklumat ini disimpan oleh pelayan web AirAsia ke dalam cakera keras anda dan hanya boleh diakses oleh oleh pegawai yang diberi kuasa dan pembekal perkhidmatan AirAsia. Pengguna Internet dan syarikat lain tidak boleh mengakses maklumat ini. Atas sebab-sebab keselamatan, kami tidak menyimpan maklumat sensitif seperti butir-butir pembayaran atau kata laluan yang disimpan dalam kuki.

Kami menggunakan dua jenis kuki. Kuki sesi akan tamat apabila anda menutup pelayar anda. Kuki kekal akan terus berada dalam cakera keras anda sehingga ia tamat tempoh atau sehingga pengguna komputer melog keluar dari Laman Web kami. Anda juga boleh mengalih keluar kuki kekal dengan mengikuti arahan yang diberikan dalam fail “bantuan” pelayar Internet anda. Ciri "bantuan" dalam kebanyakan pelayar menyediakan maklumat mengenai cara untuk mencegah pelayar anda daripada menerima kuki baharu, cara untuk mengaktifkan notifikasi untuk kuki baharu dan cara untuk menyahdayakan semua kuki.

Selain itu, anda boleh menyahdaya atau menghapuskan data serupa yang digunakan oleh tambahan pelayar, dengan menukar tetapan tambahan atau dengan melayari Laman Web pengeluar tambahan. Oleh kerana kuki membolehkan anda memanfaatkan sesetengah ciri penting yang terdapat pada Laman Web, kami mengesyorkan supaya anda menerima kuki tersebut. Sebagai contoh, jika anda menyekat atau menolak kuki kami, anda tidak akan dapat menempah penerbangan atau menggunakan sebarang produk atau perkhidmatan di Laman Web yang memerlukan anda untuk melog masuk.

Adalah penting untuk anda mengelakkan akses tanpa izin ke kata laluan dan komputer anda. Anda perlu sentiasa melog keluar selepas menggunakan komputer kongsi. Klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai cara untuk melog keluar. Kami juga menggunakan kuki untuk mengesan keberkesanan pengiklanan dalam talian. Maklumat ini dirahsiakan dan tidak akan dikongsi dengan sesiapa di luar Syarikat Penerbangan Kumpulan AirAsia kecuali yang dinyatakan dalam Dasar Privasi ini. AirAsia hanya akan menggunakan maklumat ini untuk membuat keputusan termaklum berkenaan pembelian daripada pengiklanan dalam talian. Ini membolehkan AirAsia untuk mengekalkan kos yang rendah dan tambang rendah untuk anda, para tetamu kami.

Penggunaan Maklumat yang Dikumpulkan

Secara amnya, kami menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk tujuan pentadbiran seperti memproses, mengesahkan, memenuhi serta melengkapkan transaksi dan permintaan anda untuk perkhidmatan kami. Sekiranya terdapat pemindaan/perubahan jadual penerbangan, kami akan menggunakan Maklumat Peribadi anda yang diberikan semasa anda membuat tempahan di laman web rasmi kami di www.airasia.com, pusat panggilan dan kaunter jualan kami untuk menghubungi dan memaklumkan pemindaan/perubahan tersebut kepada anda. Kami juga menggunakan Maklumat Peribadi tersebut untuk memberikan mesej amaran penerbangan melalui kemudahan perkhidmatan mudah alih AirAsia dan untuk memudahkan daftar masuk dalam talian. Di samping itu, Maklumat Peribadi anda akan digunakan untuk tujuan perakaunan (pengebilan dan audit), imigresen, pembayaran balik, kawalan kastam, keselamatan, sekuriti, analisis statistik dan pemasaran, pengurusan sistem maklumat, pengujian sistem, penyelenggaraan dan pembangunan, operasi, sokongan, kaji selidik pelanggan, perhubungan pelanggan serta untuk meningkatkan dan membantu kami ketika berurusan dengan anda pada masa akan datang, contohnya dengan mengenal pasti keperluan dan pilihan anda.

Jika anda telah memilih untuk menjadi ahli, anda juga akan menjadi peserta dalam Program Kesetiaan BIG AirAsia yang ditadbir oleh anggota gabungan kami Think Big Digital Sdn Bhd. Dalam kes sedemikian, Maklumat Peribadi anda juga akan digunakan untuk mentadbir keahlian anda dan menawarkan faedah yang anda layak di bawah Program ini.

Dalam senario pengambilan pekerja, kami akan menggunakan maklumat yang anda berikan secara sukarela untuk membuat perbandingan dengan spesifikasi/kriteria pekerjaan yang sedang kami cari/ingin kami ambil bekerja.

Perkongsian maklumat yang dikumpulkan

Kami mungkin memproses dan mendedahkan Maklumat Peribadi anda dengan Syarikat Penerbangan Kumpulan AirAsia atau pihak ketiga, seperti pembekal perkhidmatan pelancongan kami atau perniagaan yang berkaitan dengan pelancongan, syarikat penerbangan rakan kongsi, pengurusan lapangan terbang, anggota keselamatan dan syarikat penerbangan lain untuk tujuan memproses urusan perjalanan anda. Selain itu, Syarikat Penerbangan Kumpulan AirAsia akan menggunakan Maklumat Peribadi serta kuki bersama-sama untuk tujuan seperti yang dinyatakan dalam “Penggunaan Maklumat Yang Dikumpulkan” dan “Kuki” masing-masing.

Apabila dikehendaki oleh undang-undang, kami akan mendedahkan Maklumat Peribadi anda kepada badan-badan kerajaan atau pihak berkuasa atau pihak ketiga menurut sepina atau proses undang-undang lain yang berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda, kami sentiasa meningkatkan dan mengembangkan perkhidmatan kami untuk memenuhi keperluan anda yang semakin meningkat. Bagi merealisasikan sasaran perniagaan ini, kami akan melantik, memberi kuasa atau menandatangani kontrak dengan rakan kongsi perniagaan strategik dari semasa ke semasa. Maklumat Peribadi anda mungkin akan didedahkan kepada rakan kongsi perniagaan ini, pihak ketiga, pembekal perkhidmatan atau pengiklan yang diberi kuasa atau diberi kontrak untuk menyediakan promosi, tawaran, produk atau perkhidmatan, yang mungkin atau mungkin bukan milik kami tetapi berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang telah anda pilih untuk diperoleh daripada kami.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa anda tidak akan menerima komunikasi yang tidak diingini, hanya maklumat yang berkaitan dengan promosi, tawaran, produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan transaksi anda dengan kami, atau yang telah anda pilih atau ditanda sebagai berminat dalam profil ahli anda akan dikongsi dengan rakan kongsi perniagaan, pembekal perkhidmatan atau pihak ketiga yang berkenaan.

Dalam keadaan yang ditetapkan dalam Dasar Privasi ini yang mana AirAsia memberikan Maklumat Peribadi anda kepada pihak ketiga, kami akan memastikan bahawa langkah-langkah keselamatan yang digunakan oleh pihak tersebut berkenaan dengan pemprosesan data anda adalah sekurang-kurangnya seketat langkah-langkah yang diguna pakai oleh AirAsia, kalaupun bukan lebih baik. Ini tidak terpakai jika kami perlu memberikan maklumat anda kepada pihak ketiga atas kehendak undang-undang.

Sekiranya kami mengalami peralihan perniagaan, seperti penjualan sebahagian atau semua aset kami, penggabungan atau pengambilalihan, kemungkinan besar maklumat anda akan menjadi sebahagian daripada peralihan ini dan akan dipindah milik.

AirAsia tidak akan menjual atau menyewakan sebarang Maklumat Peribadi yang diberikan oleh anda di Laman Web kami kepada mana-mana pihak lain. AirAsia mungkin berkongsi maklumat tanpa nama dan/atau maklumat agregat mengenai semua pengguna kami dengan pihak ketiga.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan pengurusan Maklumat Peribadi yang didedahkan kepada, atau dikongsi dengan Syarikat Penerbangan Kumpulan AirAsia dan/atau pihak ketiga di bawah ini, sila rujuk bahagian "Maklumat perhubungan" berikut.

Penyimpanan data

Ibu pejabat AirAsia terletak di Malaysia. Walau bagaimanapun, kami boleh memindah dan menyimpan Maklumat Peribadi anda pada pelayan kami yang terletak di luar negara. Pemindahan sedemikian adalah menurut keperluan kontrak kami dengan anda dan/atau kontrak kami dengan pihak ketiga yang berkenaan.

Persetujuan anda

AirAsia atau mana-mana pembekal perkhidmatan pihak ketiga yang dilantik oleh kami akan mendapatkan persetujuan anda untuk mengumpul dan menggunakan Maklumat Peribadi anda pada masa pengumpulan, tertakluk pada keadaan yang ditetapkan oleh undang-undang tertentu yang mana kebenaran anda tidak diperlukan. Apabila dikehendaki oleh undang-undang, AirAsia akan mengguna pakai dasar memilih masuk (opt-in) untuk mendapat kebenaran bertulis nyata anda apabila mengumpul Maklumat Peribadi anda. Anda mungkin akan diminta, sebagai contohnya, untuk menandatangani borang atau menanda pada kotak yang berkenaan.

Secara umumnya, dengan menggunakan Laman Web AirAsia, anda adalah bersetuju dengan pengumpulan dan penggunaan Maklumat Peribadi anda oleh AirAsia dalam cara yang dinyatakan di atas (yang mungkin berubah dari semasa ke semasa) melainkan dan sehingga anda memaklumkan kami sebaliknya. Anda boleh mengemukakan permintaan untuk menarik balik kebenaran anda pada bila-bila masa dengan menghubungi AirAsia. Jika anda telah memberikan kami Maklumat Peribadi individu pihak ketiga dalam parti perjalanan anda, anda dikehendaki untuk mendapatkan persetujuan individu tersebut terlebih dahulu dan anda mewakili dan menjamin bahawa anda telah mendapatkan persetujuan mereka atau selainnya berhak untuk memberikan maklumat peribadi mereka kepada kami. Dengan memberikan kami Maklumat Peribadi individu pihak ketiga, anda juga menjamin bahawa individu tersebut telah dimaklumkan dan bersetuju dengan terma Dasar Privasi ini.

Dalam kebanyakan keadaan, ia adalah wajib bagi anda untuk memberikan kami Maklumat Peribadi anda untuk membolehkan kami memenuhi permintaan anda atau menyediakan anda dengan perkhidmatan yang anda minta. Walau bagaimanapun, kami akan menyediakan anda dengan peluang untuk menarik diri atau berhenti melanggan daripada menerima sebarang maklumat pemasaran, komunikasi, tawaran promosi, surat berita atau apa-apa komunikasi lain daripada AirAsia.

Akses ke dan pembetulan maklumat peribadi anda

Anda boleh mengakses Maklumat Peribadi anda dengan melog masuk ke Profil Ahli anda di www.airasia.com. Kami memerlukan bantuan anda untuk memastikan bahawa Maklumat Peribadi yang anda berikan kepada kami adalah terkini, lengkap dan tepat. Jika terdapat kesilapan atau perubahan yang perlu dilakukan, sila hubungi kami dan kami akan berusaha ke arah sama ada membetulkannya atau membincangkan tindakan alternatif dengan anda.

Kami akan dapat memberikan anda Maklumat Peribadi yang disimpan apabila menerima permintaan anda melalui e-borang kami.

Kanak-kanak* di bawah umur 18 tahun

Kami tidak dapat membezakan usia pelawat yang melayari Laman Web kami. Jika anda merupakan ibu bapa atau penjaga kepada seseorang di bawah umur 18 tahun yang telah memberikan kami maklumat mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran anda, anda boleh meminta supaya kami keluarkan maklumat tersebut dengan menghubungi kami.

*Umur kanak-kanak untuk penduduk di Jepun adalah berusia di bawah 20 tahun.

Pautan ke laman web yang lain

Laman Web ini mengandungi pautan ke laman web yang lain. Sila ambil perhatian bahawa kami tidak bertanggungjawab untuk amalan privasi atau kandungan laman tersebut. Kami menggalakkan anda untuk membaca kenyataan privasi bagi setiap laman web yang mengumpulkan maklumat daripada anda. Dasar Privasi AirAsia hanya tertakluk pada maklumat yang dikumpulkan oleh AirAsia di Laman Web kami.

Surat Berita

Dengan menyertai khidmat berita terkini AirAsia melalui e-mel, anda menyatakan persetujuan untuk kami menghubungi anda melalui e-mel bagi memaklumkan anda tentang berita, produk dan perkhidmatan terkini kami. Sekiranya anda tidak ingin kekal melanggan perkhidmatan ini, anda boleh mengeluarkan butiran anda daripada senarai langganan dalam Profil Ahli atau anda boleh klik “berhenti melanggan” daripada sebarang surat berita yang diterima oleh anda.

Maklumat perhubungan

Untuk sebarang pertanyaan, kemusykilan atau aduan berkaitan dengan pengendalian Maklumat Peribadi anda atau Dasar Privasi kami, sila hubungi Pegawai Pematuhan Privasi kami di 603-86604333 atau hantarkan e-mel ke airasia_privacycompliance@airasia.com.

Dasar guna boleh terima/penafian laman web kami

Dengan merujuk syarat-syarat penggunaan Laman Web Rasmi kami di www.airasia.com, sila rujuk Dasar Guna Boleh Terima kami untuk maklumat lanjut.

Terma dan syarat pengangkutan kami

Penempahan dan pengangkutan tetamu dan bagasi adalah tertakluk pada Terma dan Syarat Pengangkutan serta Peraturan Tambang.