AirAsia anjur WPUA Fun Run di Kuching buat kali pertama

Seramai lebih 1,300 kakitangan awam mengambil bahagian dalam larian sejauh lima kilometer

KUCHING, 14 OKTOBER 2017

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia hari ini menganjurkan acara larian ‘AirAsia Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA) Fun Run’ buat kali pertama di Kuching, Sarawak. Dianjurkan di perkarangan Stadium Negeri Sarawak, acara ini bertujuan untuk menghebahkan keistimewaan produk WPUA kepada kerajaan negeri dan merapatkan hubungan antara agensi-agensi kerajaan dengan AirAsia.

Acara Fun Run ini telah dilancarkan oleh YBhg. Datu Ik Pahon Anak Johik, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak; bersama-sama Puan Brenda Marajan, Timbalan Pengarah Jabatan Akauntan Negeri Sarawak; Mohd Fauzi Rajab, Ketua Jabatan Pembangunan Kerajaan & Cater, AirAsia Berhad; dan Zamani Rafique, Pengarah Perhubungan Kerajaan, AirAsia Berhad.

Seramai lebih 1,300 kakitangan awam termasuk agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Negeri, Badan-badan Berkanun dan lain-lain mengambil bahagian dalam acara larian sejauh lima kilometer ini. Para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti tiket penerbangan, cenderamata eksklusif AirAsia dan Mata Ganjaran BIG AirAsia.

Waran Perjalanan Udara Awam adalah pakej penerbangan komprehensif yang direka khas bagi kakitangan awam untuk urusan rasmi. Ia merangkumi pilihan Hot Seat, peruntukan bagasi berdaftar sehingga 40kg, hidangan dan minuman, perkhidmatan daftar masuk ekspres, insurans perjalanan Tune Protect, penempahan sehingga 3 jam sebelum waktu penerbangan, penukaran penerbangan sehingga 2 jam sebelum waktu berlepas, perkhidmatan kaunter daftar masuk khas di lapangan terbang dan banyak lagi – semuanya secara percuma.

Selain itu, para tetamu yang terbang dengan waran ini juga boleh mengumpul Mata Ganjaran BIG apabila mereka berbelanja di airasia.com atau rakan niaga AirAsia yang lain. Syarikat penerbangan itu juga merancang untuk menambah lebih banyak faedah seperti pelan internet Rokki untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan kadar yang kompetitif kepada para penjawat awam.

Larian AirAsia WPUA Fun Run di Kuching ini ditaja oleh rakan-rakan rasmi seperti Tune Protect, Santan, Big Duty Free, Big Loyalty, Rokki, Moma Water dan VICO.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).